Monday, January 21, 2008

bikes Q&A

1)Tekanan jauh penanda sistem brek rosak
BAGAIMANAKAH caranya kita dapat mengetahui sistem bendalir brek motosikal serta mengesan sama ada sudah mengalami kehausan atau tidak?

Jawapan
MOTOSIKAL moden kini selalunya mempunyai penanda aras kehausan pelapik brek untuk memudahkan kita mengetahui tahap ketebalan pelapik brek yang berbaki. Namun, pengesanan ketika membrek dapat memberi amaran awal pembaharuan pelapik atau brek.
Brek yang sudah haus lazimnya terasa lebih rendah atau memerlukan tarikan tuil brek lebih banyak dan tekanan jauh untuk brek kaki.
Bagi sistem brek hidraulik pula seperti sesetengah motosikal kini sistem brek yang rosak mungkin boleh dirasai jika tuil brek terasa ‘lembut’ dan seperti span (spongy) apabila ditarik.
Lakukanlah pemeriksaan tuil brek motosikal. Selalunya ini berlaku jika getah dalam pam brek sudah keras dan tidak berfungsi dengan baik.
Bendalir brek digunakan perlulah sesuai dengan dinyatakan pada penutup tangki cecair brek.
Jangan gunakan bendalir brek lebih rendah dari tahap ditetapkan seperti menggunakan bendalir DOT 3 untuk pam DOT 4.
Jangan campur bendalir brek anda, selalunya ia diwarnakan biru, merah atau jernih.
Ia boleh menyebabkan pengembangan dan kerosakan pada getah pam brek anda.

2)
Tekanan jauh penanda sistem brek rosak
BAGAIMANAKAH mengesan kerosakan pada rantai motosikal? Adakah ia akan putus ketika memecut dengan laju secara mendadak?

Jawapan
MOTOSIKAL kini selalunya mempunyai penanda kehausan rantai pada hujung gandar atau axle belakang.
Apabila anda melaras rantai, perhatikan tanda berkenaan atau jika tiada tanda, memadai dengan memerhatikan sama ada skru pelaras habis dipusing tetapi rantai masih kendur, maka tukarlah rantai anda.
Satu lagi tanda kehausan rantai ialah ia tidak lagi sama muat dengan gegancu (sprocket) anda.
Tegangkan rantai dan cuba gerakkan rantai itu di gegancu, jika longgar tandanya rantai haus dan perlu ditukar.
Ini kerana rantai memanjang apabila lama digunakan (stretched). Cara mudah memahami keadaan ini ialah dengan mengambil seutas rantai baru dan pasangkan pada sebuah gegancu baru.
Anda dapati rantai itu sama muat dengan gegancu baru tanpa sebarang kelonggaran. Rantai ini yang memindahkan kuasa menarik jentera dan berat anda sendiri ketika bergerak di jalan raya. Bayangkan tenaga tarikan yang dilalui rantai anda.
Penjagaan rantai agak mudah, pastikan rantai sentiasa berminyak dan tidak kering. Jika rantai kering, ia cepat panas dan cepat haus, begitu juga gegancu (sprocket). Secara amnya, ada dua jenis rantai, iaitu rantai biasa dan rantai dilengkapi ‘O-ring’ yang lazim digunakan motosikal berkuasa tinggi dan perlumbaan.
Rantai ‘O-ring’ memerlukan minyak khas sesuai untuk kegunaan rantai kerana minyak yang tidak sesuai menyebabkan ia menjadi kembang dan membocorkan gris dalam rantai itu.
Sentiasa minyakkan rantai anda dengan minyak bersih; minyak hitam mungkin mengandungi bahan logam haus dari enjin.
Rantai yang berminyak mudah menjadi kering selepas perjalanan meredah hujan, oleh itu jadikanlah amalan menyapu minyak rantai selepas hujan.
Bersihkan rantai jika selepas melalui jalan yang berhabuk, kerana debu jalanan melekat pada rantai mempercepatkan kehausan serta memendekkan usia rantai dan gegancu anda.
Adalah menjadi amalan yang baik untuk menukarkan set rantai dan gegancu secara serentak, usahlah cuba berjimat dengan menukar rantai tanpa menukar gegancu ataupun sebaliknya.
Ini kerana padanan rantai dan gegancu tidak diperoleh dan akhirnya menyebabkan jangka hayat keduanya menjadi jauh lebih pendek dan merugikan.
Rantai yang memanjang melebihi had juga perlu ditukar, adalah amalan yang tidak digalakkan memotong rantai dan menyambungnya semula, 'penjimatan' ini mungkin menyebabkan anda terpaksa menolak motosikal apabila rantai putus sewaktu menunggang.
Ada juga sistem minyak rantai automatik seperti 'Scott-Oiler' namun ia membabitkan belanja permulaan besar sekitar RM600 dan selalunya digunakan motosikal berkuasa tinggi.
Dari segi ekonomi ia memanjangkan usia rantai, ada yang mencapai 60,000km sebelum perlu menukar rantai baru.
Rantai yang haus tidak perlu menunggu pecutan untuk putus ada rantai yang putus sewaktu baru memasuki gear satu untuk bergerak.
Sentiasa memeriksa rantai dan pastikan operasinya licin dan senyap apabila memusingkan tayar belakang.
Rantai yang kering atau rosak selalunya berdesing atau tersangkut. Jika ianya tersangkut, periksa dulu pin sambungan rantai atau setiap sambungan dan minyakkan. Jika ini tidak menyelesaikan masalah anda sudah sampai waktunya rantai ditukar baru.

3)
Penggunaan minyak pekat atasi masalah bunyi bising pada enjin
ENJIN motosikal saya sentiasa berbunyi bising seperti besi yang berlaga. Bagaimana cara mengatasi masalah bunyi bising dan kuat pada motosikal?

Jawapan

MASALAH bunyi bising lebih tinggi daripada kebiasaan bagi jentera anda bergantung kepada banyak faktor.
Dengan mengandaikan kebisingan merujuk kepada bunyi daripada enjin, lazimnya terjadi apabila ia sudah meningkat usia dan bahagian berkenaan mengalami kehausan.
Namun, ini bergantung kepada tahap kehausan dialami, sama ada masih dalam julat spesifikasi kehausan boleh diterima pakai untuk prestasi enjin memuaskan atau tidak.
Selalunya pusat servis bertauliah mengukur tahap kehausan sesuatu bahagian enjin itu sama ada ia masih dalam julat boleh diterima. Jika tidak, bahagian yang haus ini diganti dengan alat ganti yang baru untuk memastikan prestasi enjin baik.
Kehausan bahagian bergerak enjin juga secara amnya bergantung kepada penggunaan minyak pelincir sesuai dan penukaran minyak enjin menepati jadual penukaran.
Janganlah berjimat dalam mengikut jadual penukaran minyak pelincir anda kerana ia amalan yang tidak ekonomik sebenarnya.
Minyak pelincir ibarat darah kepada enjin dan jika ia kotor mendatangkan pelbagai 'penyakit' yang tidak diundang.
Penggunaan minyak lebih pekat atau tinggi tahap kelikatan boleh menyelesaikan masalah bunyi bising pada enjin memandangkan banyak bahagian yang haus dan longgar pada enjin berusia.
Malah, ada bahan tambahan dijual di pasaran yang dapat memendam bunyi bising enjin, namun ia kurang sesuai untuk enjin motosikal yang rata-rata menggunakan sistem klac terendam minyak (wet clutch).
Ia boleh digunakan melainkan beberapa jenama dan model motosikal tertentu menggunakan klac kering (dry clutch) atau kotak gear berasingan iaitu minyak pelincir dan minyak adalah terpisah.
Lazimnya menggunakan bahan penambah mungkin menyebabkan prestasi yang menurun bagi enjin klac basah kerana ia menambahkan tahap kelicinan minyak pelincir dan mungkin menyebabkan klac tergelincir (clutch-slipping) terutama sekali sewaktu pecutan dan pada RPM tinggi.

4)
Gear 5 hilang kuasa
SAYA mempunyai motosikal RG Sports keluaran 1995. Ketika berada dalam dalam gear lima, enjin seperti kehilangan kuasa. Pada gear empat, motosikal boleh mencapai 100km/j dan apabila masuk gear lima kelajuan berkurangan ke 80km/j walaupun memulas minyak sepenuhnya. Apakah masalah yang berlaku?

JAWAPAN
JENTERA yang sebu seperti ini selalunya menjurus kepada pelarasan karburetor yang kurang tepat dan enjin tidak dapat mengeluarkan kuasa sepatutnya.
Campuran bahan api menjadi terlalu mewah dan membasahi palam pencucuh ketika berada dalam gear teratas.
Ia gear yang menjana beban tertinggi kepada enjin dan menyebabkan bahan api tidak dapat dibakar sepenuhnya serta mengakibatkan kehilangan kuasa.
Namun, kebocoran mampatan disebabkan kehausan gelang piston dan piston tidak boleh diketepikan.
Malah, masalah percikan api kecil menyebabkan enjin menjadi kurang berkuasa. Enjin yang mati di pertengahan jalan boleh berpunca daripada sebab di atas.
Penelitian yang menyeluruh oleh mekanik berpengalaman perlu untuk mengenal pasti masalah sebenar malah cara atau perkara berlaku sebelum enjin mati dapat memberikan panduan untuk mengenal pasti punca masalah sebenar.

5)
Kemalangan selepas brek kecemasan
BARU-BARU ini, saya kemalangan selepas motosikal Yamaha 135LC saya tunggang melakukan brek kecemasan. Hasil pertanyaan saya terhadap ramai pengguna model yang sama mendapati tayar belakang motosikal ini memang membuang ketika brek kecemasan dilakukan walaupun pada kelajuan perlahan iaitu 40 hingga 50km/j.
Adakah ini masalah dari segi rekaan teknikal atau saya perlu menukar spesifikasi tayar berbeza untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang?

JAWAPAN
DARI sesi tunggangan dan ujian yang dijalankan sebelum ini masalah berkenaan tidak pula dihadapi. Malahan ujian brek kecemasan didapati berkesan dan motosikal ini dikawal dengan selesa. Sebenarnya, penggunaan brek dengan betul dapat membantu kita mengawal reaksi motosikal apabila memerlukan pemberhentian segera.
Mungkin tidak disedari ramai antara kita gemar menggunakan brek belakang secara lebih kerap dan kuat pada kebiasaannya. Penggunaan brek sukar hendak ditetapkan pembahagian kuasa membrek kerana ia bergantung kepada kelajuan, situasi dan keadaan jalan raya pada waktu itu.
Namun begitu, brek hadapan perlu diberikan keutamaan dan lebih kuasa untuk pemberhentian motosikal dengan baik. Sebab itu jugalah kita perhatikan lazimnya sistem brek hadapan lebih maju dan berteknologi tinggi jika dibandingkan dengan brek belakang.
Keadaan tayar belakang membuang selalunya terjadi apabila lebih tekanan diberikan kepada brek belakang menyebabkan ia terkunci dan hilang kawalan jika kita terus menekan brek. Apa yang boleh dilakukan dalam keadaan seperti itu ialah melepaskan tekanan pada brek belakang sekejap, sebelum menekan semula, untuk mendapatkan balik kawalan motosikal.
Berbalik kepada kebiasaan tadi, ini selalunya terjadi apabila kita sudah terlalu terbiasa dengan pembahagian kuasa brek seperti itu, iaitu melebihkan kuasa brek di belakang.
Pada waktu kecemasan, kita tidak sempat lagi untuk memikirkan tindakan kita dan lazimnya bertindak balas mengikut kebiasaan dan pengalaman.
Maka dengan itu, pengalaman saja dapat membantu ketika cemas. Lakukan latihan kawalan brek dengan kerap bagi membantu kita untuk menimba pengalaman dan membina ingatan tindak balas yang mungkin menyelamatkan nyawa kita satu hari nanti.

6)
Semput apabila pecut 80km/j
MOTOSIKAL TZM saya semput apabila mencecah kelajuan antara 80 hingga 100 km/j terutama apabila memecut.

JAWAPAN
DALAM keadaan biasa, choke yang digunakan pada waktu pagi ‘mencekik’ karburetor iaitu mengurangkan kadar kemasukan udara dan sekali gus meningkatkan kadar bahan api yang masuk.
Ini memudahkan penghidupan enjin ketika ia masih sejuk. Campuran bahan api menjadi lebih mewah apabila choke digunakan.
Choke yang tidak dilepaskan menyebabkan overflow dalam kebuk pembakaran dengan palam pencucuh menjadi basah dan enjin mungkin sebu atau mati.
Sekiranya ini tidak berlaku walaupun choke tidak dilepaskan bermakna penalaan karburetor anda tidak tepat dan campuran bahan api yang ideal hanya dapat diperoleh apabila choke ditarik.
Laraskan semula karburetor untuk mendapatkan campuran tepat. Tidaklah mustahil jika anda mendapati ada motosikal yang bergerak dengan choke ditarik sepenuhnya.
Jetting yang paling sesuai ialah jetting standard yang mampu memberikan prestasi dan penjimatan penggunaan bahan api.
Cuma, kadangkala tanpa kita sedari, jetting itu haus sedikit walaupun tidak kelihatan pada mata kasar.
Untuk menyelesaikan masalah ini jarum karburetor perlu dilaras ke atas atau ke bawah bagi mendapatkan prestasi memuaskan mengikut kehendak penunggang.
Kehilangan kuasa boleh terjadi pada jentera yang sudah hilang kuasa mampatannya iaitu piston atau piston ring sudah haus serta enjin memerlukan lebih bahan api untuk membolehkan ia beroperasi.
Ini menyebabkan penggunaan bahan api tinggi dan merugikan. Adalah lebih ekonomik untuk membaik pulih enjin (overhaul).
Ia mungkin juga disebabkan powervalve bocor atau tidak dilaras baik. Power valve yang kerap bocor menyebabkan kehilangan kuasa pada enjin.
Power valve ini beroperasi pada suhu tinggi dan dengan kehadiran minyak pelincir 2T, kadangkala terdapat saki- baki karbon perlu dicuci atau dikikis untuk membersihkannya sebelum dipasang dengan pelapik yang baru.
Pengikisan ini kadangkala menyebabkan permukaannya terhakis dan menjadi tidak rata atau serasi lagi, ini menyebabkan kebocoran walaupun ditukar baru.
Permukaan komponen power valve mungkin melengkung sedikit kerana haba panas dan menyebabkan kebocoran.
Cuba pasang pelapik baru menggunakan sedikit bahan gasket cecair yang dikhaskan untuk penggunaan ekzos.
Bahan ini ada dijual di kedai ekzos kereta kerana motosikal jarang menggunakannya. Awas apabila menggunakannya kerana bahan ini selalunya mengandungi asbestos yang boleh memudaratkan kesihatan.
Sapukan dengan rata dan pasang pelapik baru dan biarkan ia kering secukupnya selama semalaman jika boleh sebelum menghidupkan enjin.
Jika powervalve anda masih bocor selepas ini mungkin ia perlu ditukar baru kerana permukaannya rosak.

7)
Motor alami gegaran kuat
MOTOSIKAL saya mengalami masalah gegaran kuat apabila memecut dari 100km/j ke 120km/j.
Apakah yang menyebabkan gegaran? Sebelum ini saya pernah kemalangan. Adakah ini kerana gegaran enjin?

JAWAPAN
SELALUNYA enjin yang beroperasi baik, gegaran akan berlaku seandainya tahap melahu (idle) enjin terlalu rendah.
Bergantung kepada apa anda maksudkan dengan timing, penurunan timing yang mengakibatkan kurangnya gegaran mungkin membayangkan timing enjin anda terlalu lambat (retarded) dan pemasaan percikan api di palam pencucuh agak lambat dan tidak menepati pemasaan yang diperlukan.
Ini akan menyebabkan operasi enjin tidak lancar dan enjin akan bergegar. Gegaran ini akan hilang bila pendikit dipulas, kerana rpm enjin meningkat. Timing perlu dibuat dengan tepat untuk memastikan enjin berada dalam keadaan optimum.
Gegaran dialami pada semua julat gear pula membayangkan sesuatu yang tidak kena pada bahagian yang digunakan pada semua gear, sama ada gear utama atau klac.
Namun, jangan lupa enjin yang kurang baik dan tenaga juga memberikan petanda sama jika gegalas utama haus atau mengalami kelonggaran. Ini menyebabkan gegaran yang amat terasa, malahan selalunya gegaran sewaktu penunggangan terjadi disebabkan enjin dan bukan datang dari kekotak gear.
Perlu dipastikan dari mana punca gegaran itu terlebih dulu untuk mendapatkan jawapan, tetapi boleh juga dibuat andaian dengan menghidupkan motosikal anda dan memulas pendikit untk meningkatkan rpm.
Lazimnya jika gegaran itu disebabkan enjin, ia akan terasa pada gear neutral dan rpm yang tinggi. Satu cara lagi yang agak mudah ialah dengan membandingkan tahap gegaran enjin anda dengan motosikal rakan sewaktu melakukan ujian ini.
Gegaran tayar boleh juga terjadi kerana kerosakan pada rim, galas (bearing) tayar yang haus dan juga galas stereng yang terletak pada tengkuk motosikal anda.
Keseimbangan tayar perlu diperiksa semula jika didapati tayar masih bergegar kerana keseimbangan atau penjajaran tayar boleh hilang jika ia mengalami pelanggaran lopak jalan terutama menggunakan rim lelidi.
Rim sport adalah lebih teguh dalam menghadapi keadaan jalan yang kurang memuaskan kerana ia tidak mudah bengkok.

8)
Tukar ekzos kuasa tinggi
SAYA memiliki sebuah motosikal Yamaha TZM 150cc. Bolehkan saya menukar ekzos motosikal saya kepada ekzos berkuasa lebih tinggi, contohnya motosikal berkuasa 250cc ke atas.
Saya ingin ekzos motosikal saya berbunyi lebih senyap seperti motosikal berkuasa tinggi.

JAWAPAN
EKZOS yang terlalu lawas menyebabkan kehilangan kuasa kerana sedikit penampanan gas ekzos adalah perlu untuk mendapatkan baki campuran bahan api optimum.
Ekzos yang terlalu lawas menyebabkan tekanan rendah yang akan menggalakkan pembebasan campuran bahan api masuk ke kebuk pembakaran terutama bagi enjin dua lejang yang tidak menggunakan injap mampatan, walaupun TZM menggunakan injap powervalve.
Malah, fungsi powervalve ini juga untuk mengawal kelawasan ekzos, pada saiz ekzos standard. Ada kemungkinan jika saiz ekzos ditukar, pelarasan semula mungkin tidak dapat menepati hasil dikehendaki.

9)
Kurang kuasa lepas buka kotak udara
SAYA menunggang motosikal Yamaha Lagenda (2002) yang pernah kemalangan pada 2003 dan sudah dibaiki sepenuhnya.
Masalahnya, selepas membuka kotak udara, motosikal saya kurang dari segi kuasa. Untuk pengetahuan pihak tuan, saya menggunakan sporket 14 33. Apakah masalah sebenar motosikal saya?

Jawapan:
PEMBUKAAN atau pembuangan penapis dalam kotak udara sebenarnya satu amalan yang tidak digalakkan. Kajian menunjukkan udara kotor boleh menyumbang sehingga 60 peratus terhadap kerosakan enjin kerana hanya di sinilah faktor luaran atau pencemaran boleh masuk ke dalam enjin.
Memang boleh didebatkan mengapa motosikal lumba tidak menggunakan penapis udara tetapi perlu diingat keadaan di litar adalah bersih. Ketika Cub Prix di Melaka baru-baru ini trek disiram air oleh Jabatan Bomba untuk membuang habuk dan pasir.
Penggunaan seharian mewajibkan penapis udara digunakan dalam kotak udara. Tanpa menggunakan kotak udara, enjin yang ditala semula dengan baik tentunya dirasakan lebih berkuasa kerana aruhan udara adalah lebih baik.
Namun, habuk yang masuk bersama udara menyebabkan kehausan melampau pada omboh (piston) dan dinding enjin.

10)
Enjin hilang kuasa pecut ketika pendikit dipulas mengejut
SAYA memiliki motosikal Suzuki RG Sport 110 tanpa klac tangan. Baru-baru ini saya membuat overhaul pada bahagian blok, omboh (piston), ring, rod, bearing dan klac plate.
Ketika memecut atau dalam kedudukan gear satu apakah penyebab enjin seakan-akan menjadi berat (bunyi dari ekzos kuat tetapi daya pecutan meleret) ketika pendikit dipulas secara mengejut?
Adakah ini normal bagi RG tanpa klac tangan? Ketika pendikit dipulas seperti biasa ketika memecut (memberi ruang kelegaan antara kemasukan gear dan memulas pendikit) bunyi dari ekzos dan daya pecutan normal. Apakah ini berpunca dari karburetor?
Adakah setiap kali 'potong blok' maka minjet dan pilotjet pada karburetor harus ditukar? Saya sekarang menggunakan piston bersaiz 50. Dimaklumkan saiz asal piston adalah 20 dan motosikal saya sudah dua kali menjalani overhaul pada blok. Apakah saiz minjet dan pilotjet yang disarankan bagi omboh bersaiz 50?

JAWAPAN
ADA kemungkinan spring klac yang ditukar lembut menyebabkan ia mencengkam lambat apabila kuasa hantaran dari enjin (dengan rpm tinggi) adalah kuat. Ini kadangkala terjadi dengan penggunaan minyak pelincir yang tidak betul yang menyebabkan terjadinya kelucutan klac (clutch-slip).
Karburetor yang mampu meningkatkan rpm enjin apabila pendikit dipulas selalunya tidak mendatangkan masalah. Periksa kembali alat ganti digunakan adalah tulen.
Baik pulih blok dan piston dengan pembesaran (re-bore) secara mudahnya jarang memerlukan penukaran jejarum atau jetting.
Cukup sekadar menaikkan jarum utama dalam karburetor, yang boleh dilaras ketinggiannya untuk membenarkan lebih bahanapi masuk selaras dengan pembesaran sesaran enjin.
Bagaimanapun, pelarasan atau penukaran jetting yang dibuat teliti mekanik berpengalaman mampu memaksimum kecekapan perjalanan enjin dengan mendapatkan campuran bahanapi yang tepat bagi semua julat kuasa enjin dan ada ketikanya lebih menjimatkan penggunaan bahan api.

11)
Boleh guna brek cakera
SAYA pengguna motosikal jenis Honda EX5. Adakah salah dari segi undang-undang menggunakan brek cakera depan dan belakang?

JAWAPAN
PADA ukuran amnya penggunaan peralatan yang meningkatkan tahap keselamatan motosikal dibenarkan dengan syarat pengubahsuaian dibuat secara sempurna menggunakan alat ganti yang direka khusus untuk pengubahsuaian berkenaan.
Brek cakera memberikan kuasa hentian jauh lebih baik daripada brek gelendung (dram) dan sebab ia tidak dipasang sebagai ciri standard kerana faktor kos untuk mengurangkan harga motosikal. Sekiranya gaya tunggangan anda pantas dan berkelajuan tinggi, eloklah dipertimbangkan penggunaan brek cakera.

1 comment:

Azrul said...

Sy guna motor rgv120 ..kenapa enjin bunyai bising kerok kerok...