Sunday, November 18, 2007

Permohonan Pengecualian Khas Pemasangan Cermin Gelap

Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3) Kaedah-kaedah kenderaan motor larangan mengenai jenis-jenis kaca tertentu pindaan 2000 menetapkan cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70% manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang 50%.

Pengecualian Khas Cermin Gelap
Pemasangan kaca gelap diberikan kepadan orang-orang tertentu sahaja seperti di bawah Kaedah 11(a) dan 11(b) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu 1991.
Mana-mana orang yang tidak termasuk dalam Kaedah 11(a) dan 11(b) yang menghadapi masalah kesihatan kulit terdedah atau dengan ancaman keselamatan boleh memohon pengecualian khas untuk pemasangan cermin gelap.

Cara-cara Memohon
Pemohonan hendaklah dibuat menggunakan Borang Khas CGI yang boleh didapati daripada Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya. Semua permohonan perlu disertakan dengan dokumen-dokumen berikut:

  • Salinan Kad Pengenalan yang telah disahkan.
  • Surat Pengesahan daripada Pegawai Perubatan Kerajaan serta rekod-rekod perubatan yang terkini.
  • Bagi permohonan untuk tujuan keselamatan, sertakan dokumen sokongan.

Kelulusan
Semua permohonan akan dipertimbangkan dan akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Pengangkutan untuk persetujuan. Selepas itu, akan dibawa kepada YB Menteri Pengangkutan untuk kelulusan.

Tempoh
Tempoh kelulusan pengguna cermin gelap adalah satu tahun sahaja dan perlu diperbaharui.

Pembaharuan
Permohonan memperbaharui kelulusan cermin gelap hendaklah dibuat 3 bulan sebelum tamat tempoh kelulusan dengan disertakan dokumen berikut:

  • Borang CGI yang telah diisi dengan lengkap.
  • Salinan Kad Pengenalan yang telah disahkan.
  • Surat Pengesahan daripada Pegawai Perubatan Kerajaan serta rekod-rekod perubatan yang terkini.
  • Salinan Surat Kelulusan dari YB Menteri Pengangkutan.

Penalti
Pemilik atau pemandu kenderaan yang tidak mematuhi kaedah ini akan dikenakan:

  • Tidak melebihi RM500.00 atau penjara tidak melebihi 2 minggu untuk kesalahan pertama.
  • Tidak melebihi RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 1 bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan-kesalahan berikutnya.

Sebarang pertanyaan sila hubungi:
Ketua Pengarah:
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
Bahagian Penguatkuasa
Aras 1, Blok D4, Parcel D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62620 Putrajaya.
Tel: 03-8885 6400
Fax: 03-8888 9645
Website: www.jpj.gov.my
E-mel: info@jpj.gov.my

No comments: